Mar 22, 2015

Kaedah Mengenal Khabar dan I'rab Ringkas



Sebelum tu, saya yakin ramai yang pernah mempelajari subjek & predikat dalam bahasa Melayu. 

Konsepnya sama saja, Subjek dalam bahasa Arab dipanggil Mubtada (مبتدأ) manakala Predikat dipanggil Khabar (خبر). 

Kali ini kita hanya fokuskan kepada Khabar, iaitu kaedah untuk mengenalpastinya dan cara I'rab (analisis).

1. Khabar Mufrad (خبر مفرد) : 

Contoh 1:
الرَّجُلُ قَوِيٌّ
"Lelaki itu gagah"

Khabar Mufrad ialah Predikat dalam bentuk perkataan dan ia bukan ayat. 

Cirinya (Khabar Mufrad) ialah:
- Mesti kata nama (اسم - ism)
- Tiada perkataan-perkataan lain selepasnya (selepas perkataan قوي) yang boleh membentuk ayat.
- Tiada Alif Lam (الـ) pada permulaan perkataan tersebut.

Perkataan "قوي" (gagah) tak boleh jadi ayat, sebab ia hanya satu perkataan.

Jadi perkataan قوي itu adalah predikat atau خبر bagi ayat di atas.

Kaedah I'rab:
قوي: خبر مفرد

Contoh 2:

المُعَلِّمُونَ نَاجِحُوْنَ
"Cikgu-cikgu (lelaki) itu berjaya"

Predikat atau خبر bagi ayat di atas ialah: ناجحون (berjaya)
Jenis khabar: Mufrad (مفرد)
I'rab ringkas:
ناجحون : خبر مفرد

Contoh 3:
البِنْتُ صَالِحَةٌ
"Budak perempuan itu baik"

Predikat atau خبر bagi ayat di atas ialah: صالحة (baik)
Jenis khabar: Mufrad (مفرد)
I'rab ringkas:
صالحة : خبر مفرد

2. Predikat separa ayat atau predikat frasa atau juga dipanggil خبر شبه جملة (kha-bar-syib-hi-jum-lah).

Khabar ini dalam bentuk kata hubung, kata arah, kata masa dan sebagainya. Dalam bahasa Arab khabar ini dalam bentuk:
- Harfu Jarr (حرف جر)
- Zorf (ظرف)

Ciri Khabar ini ialah:
- Mesti kata hubung samada dari katagori Harfu Jarr (حرف جر) atau Zorf (ظرف).
- Bukan ayat

Contoh 1:
المُدِيرُ في الإدَارَةِ
"Pengetua itu (berada) di dalam pejabat"

Predikat atau خبر bagi ayat di atas ialah: في الإدارة (di pejabat)
Jenis khabar: Syibhu Jumlah (شبه جملة)
I'rab ringkas:
في الإدارة : خبر شبه جملة 
Atau cara I'rab teknikal:
(الجر والمجرور متعلقان بمحذوف الخبر تقديره موجود)
I'rab teknikal ini tidak perlu bagi menjawab soalan kertas 2 SPM (terutamanya kepada pelajar tingkatan 4 & 5)

Perhatian: Jika anda hanya menganggap في sahaja sebagai Khabar, maka ia salah. Khabar Syibhu Jumlah mesti diambil mula daripada Haraf Jar atau Zorof sehingga lah perkataan selepasnya. Itu saja.

Contoh 2:
العَامِلُ أمَامَ المَصْنَعِ
"Pekerja itu di hadapan kilang"

Khabar (خبر) bagi ayat di atas ialah: أمام المصنع (hadapan kilang)
Jenis khabar: Syibhu Jumlah (شبه جملة)
I'rab ringkas:
أمام المصنع : خبر شبه جملة

Contoh 3:
الطَّعَامُ فَوقَ الطَّاوِلَةِ
"Makanan itu di atas meja"

Khabar : فوق الطاولة (atas meja)
Jenis (نوع) : Syibhu Jumlah (شبه جملة)

Contoh 4:
المُسْلِمُوْنَ فِيْ المَسْجِدِ
"Orang-orang Islam itu (berada) dalam Masjid"

Khabar: في المسجد (di masjid)
Jenis: خبر شبه جملة

3. Khabar dalam bentuk ayat yang dimulakan dengan kata nama atau dipanggil خبر جملة اسمية (kha-bar-jum-lah-is-miy-yah).

Khabar ini kebiasaannya dalam pattern Mubtada' Khabar seperti di bawah:
اسم [مبتدأ] + (اسم + ضمير) + اسم



Contoh 1:
مُحَمَّدٌ أبُوهُ كَرِيمٌ
"Muhammad itu, bapanya pemurah"

محمد (اسم - مبتدأ) + [أبو (اسم) + ه (ضمير)] + كريم (اسم)  

Khabarnya adalah dalam bentuk ayat iaitu:
أبوه كريم
".. bapanya pemurah"

dan dimulai dengan kata nama (اسم) iaitu perkataan أبو. Oleh sebab ini lah Khabar ini dipanggil Khabar Jumlah Ismiyyah (خبر جملة اسمية).

Jadi, khabarnya diambil mula dari أبوه sehingga كريم. Tidak boleh أبوه sahaja dianggap Khabar, tapi mesti ambil keseluruhan sehingga كريم. 

Khabar: أبوه كريم
Jenis: خبر جملة اسمية

Contoh 2:
الفَتَاةُ حَقِيبَتُهَا كَبِيْرَةٌ
"Remaja perempuan itu begnya besar"

Khabar: حقيبتها كبيرة
Jenis: خبر جملة اسمية

Contoh 3:
الطُّلاَّبُ مَدْرَسَتُهُم جَمِيْلَةٌ
"Pelajar-pelajar (lelaki) itu, sekolah mereka cantik" 

Khabar: مدرستهم جميلة
Jenis: خبر جملة اسمية

4. Khabar dalam bentuk ayat, yang dimulakan dengan kata kerja (kahabar kata kerja) atau dipanggil خبر جملة فعلية (kha-bar-jum-lah-fi'-liy-yah).

Khabar jenis ini adalah dalam bentuk kata kerja (فعل - fi'l). 

Contoh:
الوَلَدُ يَفْرَحُ
"Budak (lelaki) itu bergembira"

Khabar: يفرح (bergembira)
Jenis (نوع - nau') : خبر جملة فعلية

Khabar nya ialah Kata kerja (فعل - fi'l) nya sahaja iaitu يفرح (bergembira). Selain itu bukan termasuk khabar.

Contoh 2:
الرَّجُلُ يَرْكَبُ السَّيَّارَةَ
"Lelaki itu menaiki kereta"

Khabar: يركب (menaiki)
Jenis (نوع - nau'): خبر جملة فعلية

Khabarnya ialah يركب (menaiki) sahaja, perkataan السيارة (kereta) tidak termasuk khabar!

Contoh 3:
الأطِبَّاءُ يَجْلِسُونَ عَلَى الكَرَاسِيْ
"Doktor-doktor (lelaki) itu sedang duduk di atas kerusi-kerusi"

Khabar: يجلسون (duduk)
Jenis: خبر جملة فعلية

Contoh bentuk soalan SPM:
1. عَيِّْن الخَبر.
(tentukan Khabar)

2. اِستَخْرِجْ الخبر.
(keluarkan khabar)

3. بَيِّْن نَوْعَ الخبر.
(nyatakan jenis khabar)

0 comments:

Post a Comment